AGENDA

Pemimpin Eropah sambut baik Perancis iktiraf negara Palestin

26 Jul 2025, 12:27 AM
Pemimpin Eropah sambut baik Perancis iktiraf negara Palestin

ISTANBUL, 26 JULAI: Pemimpin Eropah pada Jumaat menyambut baik pengumuman Presiden Perancis Emmanuel Macron bahawa negara itu akan secara rasmi mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah mencapai keamanan di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu hantaran di platform X pada Khamis, Macron berkata beliau akan memformalkan keputusan itu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Presiden Macron bahawa Perancis akan mengiktiraf Palestin pada September,” kata Perdana Menteri Ireland Simon Harris di X. “Ini adalah sumbangan penting ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara, yang menjadi satu-satunya asas berkekalan bagi keamanan dan keselamatan rakyat Israel dan Palestin.”

Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez turut menyatakan sokongan dalam satu hantaran di X: “Saya mengalu-alukan keputusan Perancis menyertai Sepanyol dan negara Eropah lain dalam mengiktiraf Negara Palestin. Bersama-sama, kita mesti lindungi apa yang cuba dimusnahkan oleh Netanyahu. Penyelesaian dua negara ialah satu-satunya jalan.”

Perdana Menteri Scotland John Swinney pula menggesa kerajaan United Kingdom mengikuti jejak Perancis. “UK perlu mengikut contoh Perancis dan mengiktiraf Negara Palestin malam ini juga. Ini penting untuk keamanan. Gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan mesti dimulakan sekarang.”

Menteri Luar Slovenia Tanja Fajon, menyifatkan keputusan Macron sebagai “langkah berani untuk keamanan dan penyelesaian dua negara,” sambil menegaskan komitmen negaranya terhadap undang-undang antarabangsa dan perdamaian berkekalan di rantau itu.

Republik Czech turut memberi reaksi terhadap pengumuman Macron dengan mengulangi pendiriannya yang lama menyokong penyelesaian dua negara.

Namun begitu, dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Czech menegaskan bahawa status kenegaraan Palestin mesti dicapai melalui rundingan langsung antara Israel dan Palestin.

Presiden Czech Petr Pavel, turut menyuarakan pandangan yang sama ketika dalam lawatan ke Jepun.

-- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619