EKONOMI

Belanjawan berpaksikan Industri 4.0 rangsang lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi

6 Nov 2018, 12:16 AM
Belanjawan berpaksikan Industri 4.0 rangsang lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi

KUALA LUMPUR 6 NOV: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menjangka melihat lebih banyak pelaburan berteknologi tinggi dilaksanakan di Malaysia susulan tumpuan besar kepada revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0) dalam Belanjawan 2019 dan pelancaran pelan tindakan Industri 4.0 yang dikenali sebagai Industry4WRD baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azman Mahmud dalam satu kenyataan berkata syarikat dalam sektor pembuatan perlu mengambil kesempatan daripada semakan semula mekanisme dan insentif cukai serta inisiatif untuk menggalakkan penerimaan pakai Industri 4.0.

"Syarikat-syarikat itu perlu memanfaatkan kemudahan bagi pengeluaran plastik mesra alam berasaskan bio-resin dan bio-polimer, insentif bagi perusahaan kecil dan sederhana serta pemudahan bagi aktiviti logistik dan pengangkutan (dalam Belanajwan 2019,” katanya.

Bagi sektor perkhidmatan, Azman berkata syarikat hab prinsipal (PH) yang mahukan lanjutan kini akan tertakluk kepada kadar cukai, semakan semula ini membolehkan skop syarikat yang lebih meluas untuk mendapat manfaat daripada skim PH seperti syarikat dengan pendapatan tokokan nilai rendah.

"Bagi tempoh jangka panjang, kami percaya skim yang disemak semula ini akan meningkatkan prestasi pelaburan sektor perkhidmatan, kerana pelaburan PH adalah penyumbang terbesar kepada keseluruhan pelaburan langsung asing dalam sektor perkhidmatan di bawah bidang kuasa MIDA,” katanya.

Azman juga gembira dengan prospek sumber pembiayaan alternatif, termasuk penyelarasan banyak dana modal teroka yang diuruskan agensi kerajaan, serta peruntukan RM50 juta untuk kerajaan menubuhkan dana pelaburan bersama bagi melabur bersama pelabur swasta menerusi pendanaan awam ekuiti dan pembiayaan terbuka antara rakan setara.

"MIDA berharap dapat bekerjasama dengan entiti ini bagi membantu syarikat Malaysia yang mempunyai pembiayaan terhad tetapi memiliki potensi tinggi dalam bidang teknologi baharu,” katanya.

Pada masa depan, Azman berkata memandangkan kedudukan fiskal yang lebih realistik dan dapat dicapai di bawah Belanjawan 2019 dan kejelasan dalam hala tuju dasar bagi pelabur, tahun-tahun mendatang dijangkakan positif, terutamanya dengan banyak inisiatif disediakan untuk mewujudkan ekonomi lebih dinamik bagi Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619