AGENDA

PM saran wujudkan undang-undang lindungi hak cipta karya tempatan dari ledakan AI

22 Jul 2025, 7:21 AM
PM saran wujudkan undang-undang lindungi hak cipta karya tempatan dari ledakan AI

SHAH ALAM, 22 JUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyarankan supaya peruntukan perundangan diwujudkan bagi melindungi hak cipta dan ketulenan karya tempatan susulan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, Anwar berkata Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital perlu mengambil langkah segera demi memastikan karya seni tempatan dilindungi dan tidak terdedah kepada ancaman akibat ledakan teknologi AI, termasuk plagiat.

“Tentang masalah hak cipta ini, jaminan bukan sahaja kepada kartunis tetapi juga melibatkan filem, puisi dan karya lain yang kadang-kadang berdepan isu hak cipta disebabkan perkembangan AI.

“Perlindungan undang-undang ini bagi memastikan kekuatan daya cipta dan keupayaan seorang pengkarya seni tidak tersekat disebabkan isu hak cipta atau ketulenan sesebuah karya yang dihasilkan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku “Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar” di Pustaka Raja Tun Uda di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Datin Paduka Mastura Muhamad dan Zulkiflee Anwarul Haque atau dikenali sebagai Zunar.

Dalam pada itu, Anwar juga mahu lebih ramai tenaga pakar tempatan berkaitan teknologi AI dilahirkan supaya teknologi berkenaan di negara ini berkembang sejajar nilai dan norma masyarakat Malaysia.

Perdana Menteri berkata dasar sedia ada negara berkaitan AI tidak pernah mengetepikan atau memisahkan nilai tempatan, namun generasi muda tetap perlu dilatih menguasai ilmu supaya apa sahaja yang “dimuntahkan” AI turut mengambil kira pandangan tempatan.

“Semua mengaku AI ini teknologi baharu tetapi kita tahu apa yang dilontar dan dimuntahkan AI adalah menerusi apa yang dimasukkan atau dilakar oleh negara barat terutama Amerika Syarikat, China dan lain-lain.

“Saya setuju kebimbangan berkenaan AI tetapi kita juga tidak menyampingkan dan pisahkan elemen budaya, agama dan nilai dalam dalam dasar negara kita mengenai teknologi AI,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619