AGENDA

Program e-Hati tak lulus Jais, penganjur gagal rujuk modul lengkap

21 Jul 2025, 6:20 AM
Program e-Hati tak lulus Jais, penganjur gagal rujuk modul lengkap

SHAH ALAM, 21 JULAI: Program motivasi rumah tangga e-Hati tidak pernah mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Jais, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihak penganjur tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkenaan kepada Jais, meskipun telah diberi teguran dan saranan penambahbaikan oleh panel yang dilantik.

Menurut beliau, pada 15 November 2022, Jais telah melantik satu panel untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak penganjur susulan aduan yang diterima daripada peserta program tersebut.

“Ketika itu, pengadu mendakwa terdapat aktiviti dalam program berkenaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

“Dalam sesi penjelasan, penganjur menyerahkan satu video yang digunakan dalam program, yang mengandungi kaedah ‘self-pleasure’ bagi wanita kononnya untuk tujuan merapatkan hubungan suami isteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, panel berkenaan mencadangkan agar beberapa aspek dan pendekatan dalam program e-Hati dipinda atau dibuang jika bercanggah dengan hukum syarak. Penganjur juga disarankan agar merujuk pihak berautoriti agama atau pakar bagi memastikan pematuhan syariah dalam keseluruhan kandungan program.

Panel turut meminta agar video yang dirujuk diletakkan penafian (disclaimer) bahawa ia hanya untuk kegunaan suami isteri, sebagai langkah mencegah penyalahgunaan yang melanggar hukum syarak.

Namun begitu, Mohd Shahzihan menegaskan bahawa saranan untuk meletakkan penafian tersebut tidak bermaksud keseluruhan modul e-Hati telah diluluskan oleh Jais.

“Ini kerana sehingga hari ini, syarikat terbabit tidak pernah merujuk keseluruhan modul program itu kepada Jais selepas teguran dan saranan diberikan pada tahun 2022.

“Jais yakin, sekiranya syarikat itu mematuhi ketetapan yang telah dibuat, insiden yang didakwa berlaku dalam program e-Hati tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jais sedang menyemak dan menambah baik garis panduan penyediaan program keagamaan dan kerohanian Islam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Ia selaras dengan keputusan Majlis Agama Islam Selangor untuk mewujudkan garis panduan yang lebih komprehensif sebagai rujukan kepada penganjur program keagamaan dan kerohanian,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam agar memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang program atau kandungan keagamaan yang meragukan.

“Maklumat tepat daripada masyarakat amat penting bagi membantu Jais memelihara ajaran Islam mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” katanya.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619