AGENDA

Menteri: Kebersihan bandar tanggungjawab bersama, bukan PBT sahaja

17 Jul 2025, 8:13 AM
Menteri: Kebersihan bandar tanggungjawab bersama, bukan PBT sahaja

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Isu kebersihan bandar raya tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata, sebaliknya menuntut komitmen bersama agensi kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata demikian susulan teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terhadap keadaan kebersihan di sekitar Jalan Gallagher di sini baru-baru ini.

“Selepas teguran Tuanku, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turun segera ke lokasi bagi melakukan kerja pembersihan serta tindakan susulan lain. Namun, kita tidak boleh hanya mengambil tindakan secara reaktif.

“Saya yakin sebenarnya DBKL mempunyai program khusus untuk projek berkaitan kebersihan. Maka saya kira, kita tidak boleh tinggalkan mana-mana kawasan pun dalam memastikan bandar kita ini kekal bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Kepimpinan Perubahan Iklim dan Tenaga Hijau (IKLIM) Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Sultan Ibrahim berjalan sejauh 3.2 kilometer bagi melakukan tinjauan mengejut di sekitar Jalan Gallagher untuk melihat tahap kebersihan persekitaran di lokasi itu.

Baginda menegur keadaan longkang tersumbat, kewujudan sampah di tepi jalan serta dahan pokok yang tidak dialihkan dari laluan pejalan kaki.

Susulan teguran itu, DBKL mengambil tindakan segera dengan membersihkan kawasan terlibat, termasuk menyelesaikan masalah saliran tersumbat, timbunan sampah serta gangguan monyet liar.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619