AGENDA

Universiti Islam Selangor dimasyhur 19 Julai, Tengku Permaisuri canselor pertama

10 Jul 2025, 12:02 PM
Universiti Islam Selangor dimasyhur 19 Julai, Tengku Permaisuri canselor pertama

BANGI, 10 JULAI: Gelaran Universiti Islam Selangor (UIS) akan dimasyhur Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor pada 19 Julai ini, bersempena istiadat konvokesyen ke-27.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan memasyhurkan DYMM Tengku Permaisuri Selangor sebagai canselor pertama universiti itu.

Selain Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin dimasyhur sebagai Pro-Canselor I.

Diikuti Ahli Dewan Diraja Selangor Dato' Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa bergelar Pro-Canselor II.

Naib Canselor UIS Dato’ Profesor Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata pelantikan Tengku Permaisuri dijangka memperkukuh kepimpinan tertinggi universiti.

Jelasnya, gelaran UIS adalah tanggungjawab besar untuk institusi itu bergelar peneraju memperkasa pendidikan Islam yang relevan dengan realiti semasa.

“Selama 30 tahun UIS membina asas kukuh dalam melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing.

“Ia menjadi wadah pembangunan intelektual dan rohani, menjunjung nilai Islam, memperkasa komuniti, dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan negeri dan negara,” katanya ketika majlis minum petang UIS bersama media di Hotel Tenera.

Dr Mohd Farid turut memaklumkan seramai 1,528 graduan terlibat pada istiadat konvokesyen yang berlangsung sehingga 21 Julai depan.

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor yang ditubuhkan pada 1995 telah dinaik taraf kepada universiti penuh bermula 2022.

UIS, institusi pengajian tinggi (IPT) Islam milik penuh Mais yang ditubuhkan di bawah akta IPT swasta (IPTS) 1996.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619