AGENDA

Menteri cadang pemeriksaan mata sebelum masuk sekolah rendah

3 Jul 2025, 6:24 PM
Menteri cadang pemeriksaan mata sebelum masuk sekolah rendah

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Pemeriksaan mata bagi murid sebelum memasuki tahun satu wajar dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk menangani gangguan penglihatan sejak awal usia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata berdasarkan saringan penglihatan yang melibatkan 2,008 murid Tahap Satu di lima sekolah rendah di sekitar Kuala Lumpur tahun lepas, kira-kira lima peratus daripadanya dikesan mengalami masalah kesihatan mata.

“Daripada jumlah itu, 88 peratus mengalami rabun, empat peratus rabun warna dan lapan peratus mengalami masalah juling," katanya ketika berucap merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Cheras, di sini hari ini.

Beliau berkata gangguan penglihatan boleh mengakibatkan kelewatan dalam perkembangan motor, kognitif dan bahasa dalam kalangan kanak-kanak yang berpotensi memberikan kesan jangka panjang sehingga mereka dewasa.

Sehubungan dengan itu, Dr Zaliha berharap Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan cadangannya menjadikan pemeriksaan mata sebagai antara syarat wajib semasa pendaftaran murid ke tahun satu.

Mengenai Program Mata Hati Wilayah, beliau berkata lima sekolah rendah terlibat dalam fasa kedua kali ini, iaitu SK Seri Bintang Utara, SK Tun Hussein Onn, SK Jalan Bellamy, SK Seri Mega, dan SK Sungai Penchala.

Beliau berkata program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Jabatan Wilayah Persekutuan di bawah inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI).

“Saya dimaklumkan 92 peratus daripada murid yang menerima bantuan cermin mata menerusi program ini menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek komunikasi dan interaksi sosial sesama rakan,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Zaliha turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada SK Seri Bintang Utara sebagai tanda sokongan terhadap komitmen sekolah berkenaan dalam menjayakan program berimpak tinggi itu.

“Berdasarkan dapatan dan impak positif yang kita terima setakat ini, saya percaya kita berada di landasan yang betul dalam melahirkan generasi murid yang lebih yakin, sihat dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619