AGENDA

Kemalangan: Pemandu van maut, sembilan penumpang cedera

29 Jun 2025, 9:35 PM
Kemalangan: Pemandu van maut, sembilan penumpang cedera

KUNAK, 29 JUN: Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut manakala sembilan penumpang cedera apabila van jenis Toyota Hiace dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kunak-Lahad Datu, kira-kira 7 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kunak ASP Reduan Rahman berkata kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu gantian yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke kanan jalan.

"Van itu membawa 10 individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Sandakan. Kemalangan itu menyebabkan pemandu meninggal dunia manakala empat penumpang cedera ringan dan lima lagi cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Mohd Ridzuan Shahidun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 7.50 pagi.

"Kami mendapati sebuah van terbabas ke bahu jalan. Seorang mangsa yang tersepit di bahagian pemandu telah dikeluarkan menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit (HPU) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Lapan mangsa yang cedera berusia 46 hingga 75 tahun diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS serta ambulans.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619