AGENDA

JWP, JPJ diminta tangani isu kenderaan terbiar di ibu kota, Putrajaya

16 Jun 2025, 11:04 PM
JWP, JPJ diminta tangani isu kenderaan terbiar di ibu kota, Putrajaya

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) diarah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meneliti kelompongan perundangan sedia ada berkaitan pelupusan kenderaan terbiar di ibu negara dan Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata tindakan itu perlu disegerakan susulan jumlah aduan awam yang tinggi berhubung kenderaan terbiar di kawasan bandar.

“Di Kuala Lumpur sahaja, aduan awam berkaitan kenderaan terbiar mencecah lebih 2,500 kes setiap tahun. Ini bukan angka kecil dan tidak wajar dibiarkan berlarutan.

“Namun kita berdepan beberapa kekangan perundangan, antaranya kenderaan terbiar di premis swasta yang tidak boleh ditunda ke depot pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kenderaan sudah lama berada di depot tetapi masih belum dapat dilupuskan kerana halangan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke Car Medic Sdn Bhd, sebuah pusat rawatan automotif berlesen menjalankan pelupusan kenderaan yang telah dilucut hak bagi meninjau sendiri pelaksanaan proses pelupusan lebih pantas, teratur dan lestari.

Dr Zaliha menegaskan kenderaan terbiar tidak boleh terus mencacatkan wajah bandar raya, justeru cadangan penyelesaian tuntas dan menyeluruh perlu dirangka secara bersama oleh agensi berkaitan.

Beliau turut menggalakkan pemilik yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela agar hadir ke pusat rawatan automotif berlesen.

“Proses ini mudah dan pemilik akan menerima bayaran tunai berdasarkan keadaan kenderaan,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619