BUDAYA

Tenggek Burung

14 Jun 2025, 8:30 AM
Tenggek Burung

Di situ terlalu banyak jenis ulam

ulam raja, daun selom, pucuk putat dan gajus

sudah tiba bulan Ogos permulaan musim tengkujuh

di kuil Siam rata-ratanya hidangan nasi kerabu

harum ulam antara jampi dan sembahyang sami

jauh di Perancis musim gugur sudah bermula

bunga kekwa sedang menunggu giliran mekar

bunga kekwa dipercayai khas untuk si mati

begitu kepercayaan setengah-tengah orang

jangan menganggap itu yang terburuk

ia setakat kenyataan hidup

seperti hari minggu mencari tenggek burung

di pasar tani antara berpuluh jenis ulam

gerai kunci, temu, petai, jering dan serai kayu

yang sukar dicari bukan kerana susah biak tanam

tapi kerana nilai komersial dan jaringan bekalan

sampai rindu lama kekal kehausan

kamu pasti arif kiranya mengongsi pengalaman

dari desa ke kota dan jejak kembara semakin tersebar

seperti setinggi-tinggi terbang bangau

akhirnya akan singgah di belakang kerbau

selepas penat kembara pasti pulang

yang sedihnya, semua pernah ada sudah hilang

yang tercinta, setakat bertemu dalam kenangan

yang pernah digenggam, sudah keciciran

paginya ketika mencari tenggek burung

tidak kira jumpa atau tidak jumpa

setakat membangkit sayu dan pilu rindu.

Lee Keok Chih

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619