ADN

Wakil rakyat Sentosa mohon penduduk Kampung Jawa tidak diganggu

12 Jun 2025, 3:28 PM
Wakil rakyat Sentosa mohon penduduk Kampung Jawa tidak diganggu

SHAH ALAM, 12 JUN: Ahli Dewan Negeri Sentosa memohon kontraktor yang dilantik syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) tidak mengganggu penduduk Kampung Jawa yang terlibat dalam proses pengambilan tanah di kawasan itu.

Dr Gunaraj George berkata pihaknya dimaklumkan 25 pemilik rumah menerima kacau ganggu dengan tujuan mendesak mereka berpindah meski kes berkenaan belum diputuskan mahkamah.

“Saya difahamkan kes ini telah dibawa ke mahkamah dan ia dijangka diputuskan pada perbicaraan pada Julai atau Ogos ini. Saya difahamkan ada beberapa gangguan terhadap pemilik rumah daripada kontraktor WCE.

“Saya minta jasa baik mereka jangan ganggu, biar mahkamah putuskan dahulu. Mereka belum pindah, belum dapat rumah dan belum dapat pampasan,” katanya menerusi kenyataan yang dirakam dan disiarkan di Facebook, semalam.

Dr Gunaraj yang juga Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada Dato' Menteri Besar menambah, empat daripada 25 kediaman telah dirobohkan akibat gangguan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon jasa baik pihak polis untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman di Kampung Jawa, terutamanya di kawasan rumah terlibat.

“Saya mohon jasa baik pihak polis untuk bantu pastikan kacau ganggu di Kampung Jawa, terutamanya kepada 25 pemilik rumah ini. Kita harap ia diselesaikan secara harmoni,” katanya.

Semalam, polis mengesahkan menerima dua laporan berhubung satu pergaduhan antara pihak kontraktor yang dilantik WCE dan penduduk Kampung Jawa yang dipercayai berlaku pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Ramli Kasa dilapor berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Difahamkan, proses pengambilan tanah di Kampung Jawa bagi projek Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat Taiping- Banting melibatkan Seksyen 3 dari persimpangan NKVE/FHR2-Mukim Klang telah bermula sejak 2015.

Lebuh raya bermula Taiping, Perak hingga Banting, Selangor itu mempunyai 21 persimpangan, yang menghubungkan Lebuhraya Lembah Klang Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya Selat Klang Utara dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619