AGENDA

UiTM Puncak Alam antara enam zon baharu khidmat van transit Rapid KL

13 Mei 2025, 5:00 AM
UiTM Puncak Alam antara enam zon baharu khidmat van transit Rapid KL

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Perkhidmatan Rapid KL On-Demand diperluas ke enam zon baharu bermula Khamis ini, sekali gus meningkatkan kesalinghubungan di kawasan mempunyai capaian pengangkutan awam agak rendah di sekitar utara dan barat Lembah Klang.

Zon baharu itu meliputi kawasan Batu Caves, Rawang, Sungai Buloh dan Setia Alam, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria menerusi kenyataan dikeluarkan Rapid Bus Sdn Bhd hari ini berkata pihaknya, akan terus memperluas zon perkhidmatan secara berperingkat sehingga penghujung Jun 2025.

“Zon kali ini lebih tertumpu kepada kawasan mempunyai capaian pengangkutan awam yang rendah, bagi membolehkan penduduk sekitar mendapat manfaat dan meningkatkan pengalaman penumpang dalam merancang perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir lebih optimum,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan enam zon baharu diperkenalkan ialah Sg Way-LRT Taman Paramount, KTM Batu Caves-Hab Wira Damai, Country Homes Rawang-KTM Rawang, KTM Rawang-Taman Garing, UiTM Puncak Alam-Puncak Alam serta Alam Budiman/Setia Alam-Setia City Mall.

Sehingga kini, purata sebanyak 3,792 pengguna setiap hari di 41 zon di Lembah Klang telah menikmati manfaat perkhidmatan itu meliputi penjimatan masa, perbelanjaan dan akses ke pengangkutan awam.

Perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam dengan tambang promosi RM1.

Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan kad debit atau kredit, kad Touch ‘n Go, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan OKU Smile serta Pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity dan Pas Famili).

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman web www.myrapid.com.my atau mengikuti media sosial rasmi Rapid KL.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619