AGENDA

Ragut rantai emas, bapa satu anak dihukum penjara lima tahun

29 Apr 2025, 5:33 AM
Ragut rantai emas, bapa satu anak dihukum penjara lima tahun

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Seorang tukang rumah dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana meragut seutas rantai emas milik seorang wanita di kedai makan, minggu lepas.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap Hussein Iyasamy, 39, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 April lepas.

Bapa satu anak itu mengaku bersalah meragut seutas rantai leher emas milik mangsa yang berusia 47 tahun itu di sebuah kedai makan di Taman Mutiara Fadason, Kepong, di sini pada 12.38 tengah malam, 24 April.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang makan di restoran didatangi tertuduh yang meminta sebatang rokok tetapi mangsa tidak memberikan rokok kepada tertuduh.

Tertuduh kemudian beredar dari kedai makan tersebut namun berlari semula ke arah meja mangsa untuk meragut rantai emas di lehernya sebelum dia berjaya ditangkap oleh orang ramai dan polis peronda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Zaberi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor tertuduh melakukan jenayah di tempat awam dan di khalayak ramai.

Hussein yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia menanggung isteri dan seorang anak.

-- BERNAMA

 

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619