AGENDA

Komuniti Madani perlu fahami isu 3R, tangkis fitnah, berita palsu

27 Apr 2025, 11:00 AM
Komuniti Madani perlu fahami isu 3R, tangkis fitnah, berita palsu

SANDAKAN, 27 APRIL: Komuniti MADANI mesti menjadi komuniti yang memahami isu melibatkan 3R iaitu raja, agama dan kaum, serta mampu berperanan menangkis fitnah dan berita palsu berkaitan kerajaan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata dalam merealisasikan hasrat itu, Komuniti MADANI diingatkan supaya mengesahkan terlebih dahulu suatu maklumat sebelum disebarkan kepada masyarakat sekali gus mampu memainkan peranan sebagai penyampai perkara yang betul.

"Jangan normalisasikan salin maklumat dan terus sebar tanpa semak kesahihan. Sebar berita palsu boleh masuk penjara, sebar benda tidak betul boleh kena denda besar, jadi kita beri peringatan.

"Beritahu masyarakat jangan mudah percaya dengan maklumat diterima, kita mahu (Komuniti MADANI) yang boleh menyampaikan perkara betul," katanya pada Sesi Bual Bicara Program Pemukiman Komuniti MADANI Siri 1 Zon Sabah 2025, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (Japen) Julina Johan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj dan Pengarah Japen Sabah Jainisah Mohd Noor.

Sesi Bual Bicara itu disertai kira-kira 500 ahli daripada 109 Komuniti MADANI dari seluruh Sabah.

Komuniti MADANI merupakan badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditadbir urus Japen.

Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan semua pihak agar berhati-hati dengan taktik terbaharu scammer atau penipu yang menggunakan pautan seperti jemputan perkahwinan.

"Ada individu yang menghantar satu pautan kononnya jemputan kenduri anaknya tetapi apabila saya minta tangkap layar jemputan itu, dia minta klik pautan terbabit.

“Saya minta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) cari dia, individu itu terus padam link terbabit...jadi saya nasihat tolong berhati-hati, scammer sekarang sangat licik," katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619