AGENDA

Ambil alih konsesi Menara KL tidak memihak mana-mana pihak

21 Apr 2025, 8:24 AM
Ambil alih konsesi Menara KL tidak memihak mana-mana pihak

JOHOR BAHRU, 21 APRIL: Isu pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur (Menara KL) tidak memihak kepada mana-mana pihak berkepentingan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata notis pengosongan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan juga bukan bentuk penindasan, sebaliknya ia langkah berasaskan undang-undang.

Beliau berkata kes tersebut kini dalam proses perundangan di mahkamah dan semua pihak diminta memberi ruang kepada proses keadilan berjalan.

"Tindakan yang diambil adalah demi menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Sri Skudai, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Kerajaan MADANI melalui Kementerian Komunikasi yang mengarahkan Menara KL ditutup sementara waktu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).

Menurut kenyataan itu pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) di atas tapak Menara KL selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.

Sehubungan itu Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 dan 9 April 2025.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619