SUKANKINI

'Saya sudah kaji penalti Messi'

16 Jun 2018, 6:22 PM
'Saya sudah kaji penalti Messi'

MOSCOW 17 JUN: Penjaga gol Iceland Hannes Halldorsson mendedahkan, dia telah membuat kajian terperinci dan persediaan mental berhubung kejayaannya menafikan tendangan penalti bintang Barcelona Lionel Messi untuk keputusan seri 1-1 dengan Argentina hari ini.

Halldorsson yang dianggap wira apabila menepis sepakan penalti tersebut pada minit ke-63 memberitahu, dia hanya mengagak bahawa tonggak Argentina itu bakal menendang bola ke sebelah kanannya.

Pemain terbaik perlawanan itu menyifatkan keputusan 1-1 itu sebagai impian menjadi kenyataan, setelah kajian terhadap sepakan penalti daripada pemain terbaik dunia lima kali tersebut membuahkan hasil.

"Saya ada membuat sedikit kajian kerana saya tahu situasi sebegini boleh berlaku. Ia agak mustahil tetapi ternyata ia berhasil.

"Saya sudah tengok banyak sepakan penalti daripada Messi dan saya mencongak tendangannya berdasarkan beberapa sepakan penalti terakhirnya.

"Saya juga cuba membaca fikirannya dan sudah pasti dia akan memikirkan tentang saya. Saya sangat gembira kerana meraih perasaan sebegini," kata Halldorsson selepas tamat perlawanan di Stadium Spartak.

Dalam masa sama, Halldorsson turut menganggap keputusan tersebut seakan satu kemenangan, selepas Iceland membuat kemunculan sulung di Piala Dunia, di mana negara itu sebelum ini menjadi bualan hangat setelah menyingkirkan England untuk mara ke suku akhir Euro 2016.

SUMBER: AFP

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619