AGENDA

Beradab di media sosial, semak fakta, jangan mengapikan isu 3R

28 Mac 2025, 2:27 PM
Beradab di media sosial, semak fakta, jangan mengapikan isu 3R

PAPAR, 28 MAC: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan semua pihak supaya lebih beradab apabila membuat hantaran di media sosial berkaitan isu kaum, agama dan raja (3R).

Beliau berkata ia penting bagi memastikan keharmonian masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini terus terpelihara.

“Rakyat perlu menyemak sesuatu fakta yang betul dan bukannya berdasarkan emosi, khususnya yang melibatkan isu 3R. Kita kena berhati-hati kerana isu (3R) boleh diapi-apikan sehingga boleh memecahbelahkan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Ihya Ramadan Parlimen Papar di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Mohd Na’im juga berkata sebarang perkara yang boleh menimbulkan perseteruan perlu dielakkan demi mengekalkan kesatuan dan perpaduan di negara ini.

Pada majlis itu, Mohd Na’im turut menyampaikan sumbangan RM146,000 daripada agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada 16 masjid, 74 surau, siak dan bantuan makanan kepada golongan asnaf bagi Parlimen Papar.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619