AGENDA

Ambulans terbabas, langgar pokok, pesakit, penumpang cedera

23 Mac 2025, 2:00 AM
Ambulans terbabas, langgar pokok, pesakit, penumpang cedera

KUALA TERENGGANU, 23 MAC: Seorang pesakit dan petugas perubatan berdepan detik cemas apabila ambulans dinaiki mereka terbabas di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Jambu Bongkok di Marang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Marang Supt Mohd Sofian Redzuan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada 12.30 tengah malam tadi, daripada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah.

Beliau berkata siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila tayar belakang sebelah kiri van jenis Toyota Hiace milik Kementerian Kesihatan Malaysia yang membawa seorang pesakit wanita berusia 21 tahun itu, tiba-tiba pecah sebelum terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.

“Turut menaiki ambulans yang dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini itu ialah seorang doktor wanita berusia 28 tahun, dua orang jururawat dan seorang pemandu lelaki," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemandu dan kesemua penumpang yang hanya mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.

Mohd Sofian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat di talian 09-6182222 bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN166/59).

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619