AGENDA

Menteri: Status bola pikel dalam SUKMA 2026 bergantung undian negeri

14 Mac 2025, 6:10 AM
Menteri: Status bola pikel dalam SUKMA 2026 bergantung undian negeri

PETALING JAYA, 14 MAC: Status pickleball sebagai satu daripada acara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 belum diputuskan dan masih bergantung kepada undian negeri-negeri yang terlibat, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Beliau berkata selaku tuan rumah, Selangor mempunyai senarai acara yang ingin dicadangkan namun setiap acara yang mahu dipertandingkan perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa SUKMA.

“Jawatankuasa SUKMA akan memastikan setiap acara yang mahu dipertandingkan mesti mempunyai sekurang-kurangnya penglibatan enam negeri. Itu syarat utama. Jadi, sama ada pickleball akan disenaraikan atau tidak, ia bergantung kepada undian negeri-negeri masing-masing.

“Keputusan akhir mengenai acara yang bakal dipertandingkan hanya akan dimuktamadkan menjelang tarikh kejohanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Perbadanan Padang Golf Subang (PPGS) dan Kelab Golf Negara Subang (KGNS) di sini hari ini.

Beliau memaklumkan mesyuarat pertama Jawatankuasa SUKMA yang diadakan baru-baru ini hanya mengesahkan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026 dan Kelantan bagi edisi 2028.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah sebelum ini, menyuarakan pandangan iaitu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu menetapkan dasar khusus bagi mengekalkan sukan teras yang berpotensi menyumbang pingat di kejohanan antarabangsa, agar ia tidak digugurkan daripada SUKMA.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619