AGENDA

Warga emas cedera kereta terlanggar anak gajah melintas jalan

13 Mac 2025, 3:24 AM
Warga emas cedera kereta terlanggar anak gajah melintas jalan

MERSING, 13 MAC: Seorang lelaki warga emas cedera apabila kenderaan dipandunya terlanggar seekor anak gajah yang melintas jalan di Kilometer 30 Jalan Nitar-Mersing di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata mangsa berusia 70 tahun itu, cedera pada bahagian leher dan pergelangan tangan kiri dan masih menerima rawatan di Hospital Kluang.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada orang awam, kira-kira 9 malam.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Altis yang dipandu mangsa dari arah Kluang ke Mersing, terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan bersama sekumpulan gajah lain.

“Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya sebelum diselamatkan pengguna jalan raya lain. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kluang akibat kecederaan pada bahagian leher serta pergelangan tangan kiri dan masih menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mersing, yang mengambil tindakan segera menguruskan bangkai anak gajah berkenaan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

“Pada masa sama, kita ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan berwaspada ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar, terutama pada waktu malam,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619