AGENDA

Pelancong China lemas ketika menyelam di Pulau Mabul

10 Mac 2025, 2:47 AM
Pelancong China lemas ketika menyelam di Pulau Mabul

SEMPORNA, 10 MAC: Pelancong lelaki warga China berusia 34 tahun, lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Sabri Zainol, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.36 petang.

"Pengadu, seorang jurulatih selam bersama seorang lagi jurulatih, membawa lima penyelam termasuk mangsa ke perairan Pulau Mabul pada 10.50 pagi untuk menyelam pada kedalaman 12 meter.

"Aktiviti itu selesai sekitar 12.30 tengah hari, dan semua penyelam, termasuk mangsa naik ke permukaan serta menyerahkan peralatan menyelam," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, selepas menyerahkan peralatan, mangsa masih kelihatan berenang di sekitar bot.

"Apabila semua penyelam naik ke bot, pengadu mendapati mangsa tiada. Setelah pemeriksaan dilakukan di sekitar kawasan itu, mangsa ditemukan terapung di permukaan air dalam keadaan telangkup," katanya.

Penyelam lain segera mengangkat mangsa ke atas bot dan cuba memberikan bantuan pernafasan sebelum membawanya ke Hospital Semporna.

"Setibanya di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Siasatan dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," tambahnya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619