AGENDA

Lori ditunda terbalik di Pendang, lorong Plus hala selatan terhalang

9 Mac 2025, 8:22 AM
Lori ditunda terbalik di Pendang, lorong Plus hala selatan terhalang

ALOR SETAR, 9 MAC: Trak tunda yang sedang menunda sebuah lori sarat muatan tomato terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 71.4 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan dekat Pendang hari ini, menyebabkan lorong di laluan berkenaan terhalang.

Ketua Polis Daerah Pendang Supt Rodzi Abu Hassan berkata Pusat Kawalan Trafik (TMC) Plus telah memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan sebuah trak tunda dan lori. Kemalangan dipercayai berlaku semasa trak tunda sedang menunda lori berkenaan dari Changlun menghala ke Selayang, Selangor.

"Ketika sampai di tempat kejadian, kunci di bahagian bawah kepala lori tercabut dan menyebabkan trak tunda hilang kawalan dan terbabas ke dalam parit di kiri jalan manakala lori tomato terbalik secara melintang dan menghalang keseluruhan lorong menghala ke selatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.15 pagi, sebelum tiba di lokasi kejadian 30 minit kemudian.

"Tiada mangsa yang terlibat dan seramai enam anggota dari BBP Pendang telah melakukan operasi membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan itu manakala pekerja lori (tomato) membersihkan semua tomato yang bertaburan atas jalan raya," katanya.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan kerja pengalihan sedang dijalankan dan kesemua lorong arah selatan ditutup, menyebabkan trafik perlahan sejauh enam kilometer.

Laluan kontra diaktifkan dari KM 70.8-KM 71.9 dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan mereka.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619