AGENDA

Bunuh penyanyi wanita sambilan, penganggur berdepan hukuman mati

7 Mac 2025, 9:09 AM
Bunuh penyanyi wanita sambilan, penganggur berdepan hukuman mati

MELAKA, 7 MAC: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penyanyi sambilan wanita di sebuah rumah, bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Hong Yew Peng, 54, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hong didakwa dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan hingga mendatangkan kematian Ling Lu Cheng, 52, di sebuah rumah di Jalan Sri Mangga, Taman Sri Mangga Seksyen 1, dalam daerah Melaka Tengah, antara 1.30 hingga 3.30 pagi, 22 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati boleh dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis, yang memohon satu tarikh bagi memperoleh laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat serta mencadangkan tiada ikat jamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membenarkan cadangan itu dan menetapkan 21 April untuk serahan laporan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan mahkamah menaiki kenderaan polis memakai baju pesakit Hospital Melaka dengan keadaan tangan kiri berbalut kerana mengalami kecederaan.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619