AGENDA

Penuntut USIM terpilih imam solat tarawih di masjid New Zealand

5 Mac 2025, 7:30 AM
Penuntut USIM terpilih imam solat tarawih di masjid New Zealand

NILAI, 5 MAC: Penuntut Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Hanif Zakaria mencipta sejarah bagi universiti itu apabila terpilih menjadi imam solat tarawih di Masjid Manukau Islamic Youth Centre di Auckland, New Zealand dari 2 hingga 26 Mac ini.

Muhammad Hanif, 24, yang berlepas ke New Zealand pada 26 Februari lalu menyifatkan pemilihan sebagai imam di masjid itu satu penghormatan buat dirinya berikutan saingan hebat dalam sesi temuduga sebelum ini.

“Saya sangat bersyukur. Ini adalah peluang keemasan buat saya, mungkin sekali seumur hidup,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan USIM di sini.

Sepanjang berada di New Zealand, penuntut pengajian Program Qiraat itu turut mengambil peluang mengajar al-Quran kepada jemaah setempat, yang secara tidak langsung membantu beliau memastikan hafazannya lancar bagi memimpin solat dengan sempurna.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata tanggungjawab itu merupakan pengalaman pertama beliau menjadi imam di luar negara yang dianggap cabaran berharga.

“Sebagai wakil pertama USIM berkhidmat di New Zealand, saya berharap ini mampu menjadi perintis dan sebagai pembuka jalan kepada penuntut lain pada masa akan datang.

“Semoga selepas ini lebih ramai penuntut USIM dapat berkhidmat di sini dan kerjasama antara USIM dan masjid di New Zealand dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata pengalaman itu juga membuktikan ilmu al-Quran mampu membawa kejayaan tanpa sempadan, selain menjadi duta kecil USIM dalam menyebarkan syiar Islam di bumi asing.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619