AGENDA

13 pelajar kolej vokasional dituduh bunuh rakan diarah bela diri 10 Mac

28 Feb 2025, 4:31 AM
13 pelajar kolej vokasional dituduh bunuh rakan diarah bela diri 10 Mac

TAWAU, 28 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu untuk membela diri atas pertuduhan membunuh pelajar kolej sama, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan tahun lepas.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh di akhir kes pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selepas meneliti dan menilai keterangan saksi sepanjang kes pendakwaan, mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh membela diri," katanya dan menetapkan 10 hingga 14 Mac ini untuk perbicaraan bagi tertuduh membela diri.

Seramai 13 pelajar lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac 2024 hingga 7.38 pagi 22 Mac 2024.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P.Kang serta Kusni Ambotuwo.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619