AGENDA

Platform jualan dalam talian diarah turun iklan gula-gula kenyal

23 Feb 2025, 12:07 PM
Platform jualan dalam talian diarah turun iklan gula-gula kenyal

LANGKAWI, 23 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan dua platform jualan dalam talian untuk menurunkan iklan penjualan gula-gula kenyal atau 'gummy' berbentuk mata yang sebelum ini dikatakan meragut nyawa seorang kanak-kanak di Pulau Pinang.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata berdasarkan profiling yang dibuat, KKM mengenal pasti 86 pautan iklan di dua platform berkenaan mengiklankan produk itu.

“Pagi ini, kita telah mengarahkan platform berkenaan untuk menurunkan iklan yang menjual gula-gula ‘gummy’ itu, tindakan yang dilaksanakan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM.

“Kita juga telah mengarahkan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) seluruh negara untuk melakukan penguatkuasaan di premis fizikal dan akan merampas produk yang masih dijual,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kajian The First 1,000 Days Of Life: Langkawi Longitudinal Study dan Pendigitalan Menggunakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di Langkawi di sini hari ini.

Sebelum ini, KKM dalam satu kenyataan menegaskan penjualan produk gula-gula kenyal atau gummy berbentuk mata dilarang di semua platform dalam talian dan pasaran domestik.

Menerusi kenyataan itu KKM memaklumkan siasatan mendapati produk berkenaan menyalahi keperluan pelabelan yang diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985, Akta Makanan 1983 [Akta 281].

Terdahulu, media melaporkan murid Tahun Empat Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal pada Selasa lepas.

Murid Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619