AGENDA

Beregu Aaron-Woi Yik mampu juarai All England, tamat penantian 18 tahun

21 Feb 2025, 7:54 AM
Beregu Aaron-Woi Yik mampu juarai All England, tamat penantian 18 tahun

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi optimis anak buahnya Aaron Chia-Soh Wooi Yik mampu menamatkan penantian Malaysia untuk memenangi sektor berkenaan di Kejohanan Badminton Seluruh England 2025 bermula 11-16 Mac ini.

Herry berkata beliau kini sedang dalam proses mempersiapkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu dengan sistem latihan baharu bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menghadapi kejohanan badminton tertua dunia itu.

“Peluang itu selalu ada tapi saya rasa persiapan mereka masih belum mencapai tahap maksimum.

“Aaron dan Wooi Yik masih menyesuaikan diri dengan program latihan saya," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia di sini hari ini.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia memenangi Kejohanan Badminton Seluruh England pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menewaskan gandingan China, Fu Haifeng-Chai Yun.

Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik di kejohanan berkenaan bergelar naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehadiran tujuh beregu lelaki negara yang layak beraksi di kejohanan itu, beliau mengakui ia merupakan satu kelebihan buat Malaysia untuk mengungguli sektor berkenaan.

Beliau berkata perkembangan itu secara tidak langsung memberi persaingan sihat kepada beregu lelaki negara untuk beraksi dengan lebih baik.

Berdasarkan senarai pemain yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Malaysia akan diwakili empat pasangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King dan Chong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri

Tiga beregu lelaki profesional pula ialah pasangan nombor dua dunia Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

--BERNAMA

 

TAG: sukan, badminton, Herry Iman Pierngadi, Kejohanan Badminton Seluruh England, beregu lelaki.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619