AGENDA

Qatar lihat 'suasana positif' untuk rundingan gencatan senjata Gaza fasa kedua

18 Feb 2025, 2:34 PM
Qatar lihat 'suasana positif' untuk rundingan gencatan senjata Gaza fasa kedua

ANKARA, 18 FEB: Qatar pada Selasa melaporkan adanya "suasana positif" untuk memulakan rundingan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas, lapor Anadolu Ajansı (AA).

"Terdapat suasana positif yang mungkin mendorong permulaan fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza," kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari, dalam sidang media di Doha.

Bagaimanapun, beliau berkata rundingan itu masih belum bermula dan menyatakan harapan agar ia dapat dimulakan "dalam masa terdekat."

Ansari turut menekankan bahawa aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah “tidak mencukupi” dan menegaskan bahawa ia “tidak boleh dijadikan sebagai alat tawar-menawar.”

Menteri Luar Israel Gideon Sa’ar berkata pada awal Selasa bahawa rundingan fasa kedua perjanjian Gaza akan bermula minggu ini.

Menurut akhbar The Jerusalem Post, Sa’ar menyatakan bahawa Israel akan menuntut "penyahtenteraan sepenuhnya" Semenanjung Gaza.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan Gaza telah berkuat kuasa sejak 19 Jan, menghentikan serangan Israel yang telah mengorbankan hampir 48,300 rakyat Palestin dan memusnahkan wilayah itu.

Di bawah perjanjian itu, 19 tahanan Israel dan lima pekerja Thailand telah dibebaskan sebagai pertukaran dengan 1,135 tahanan Palestin.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas wilayah itu.

- BERNAMA-ANADOLU

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619