AGENDA

Upah tinggi faktor warga tempatan jadi tali barut bawa masuk pendatang

16 Feb 2025, 8:44 AM
Upah tinggi faktor warga tempatan jadi tali barut bawa masuk pendatang

KOTA BHARU, 16 FEB: Ganjaran lumayan menyebabkan segelintir rakyat tempatan sanggup menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan pendatang tanpa izin dengan bertindak sebagai tekong darat, kata Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan.

Beliau berkata berdasarkan soal siasat, purata upah yang dibayar kepada tekong darat adalah sekitar RM4,500 seorang dan jumlah itu berbeza-beza mengikut kewarganegaraan pendatang asing berkenaan.

"Upah itu mungkin bertambah jika dihantar ke lokasi lain seperti Selangor dan Johor, dengan pendatang asing ini kebanyakannya dibawa masuk melalui laluan haram di sempadan negara pada waktu tertentu bagi mengelak pihak berkuasa.

"Justeru, tidak hairanlah tekong darat ini sanggup mengambil risiko walaupun tahu perbuatan berkenaan menyalahi undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Suai Kenal bersama Media Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Yusoff berkata kebiasaannya warga asing yang dibawa masuk akan ditempatkan di rumah atau hotel transit sebelum dihantar ke lokasi seterusnya.

"Untuk masuk ke negara ini, mereka akan menggunakan sindiket dengan tekong darat akan mengenakan caj mengikut kepala dan destinasi yang dituju," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya menggalakkan orang ramai yang ingin berkunjung ke Thailand agar menggunakan pasport antarabangsa ekoran bekalan pas sempadan yang terhad.

"Buat masa sekarang, pas sempadan hanya boleh dibuat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini sahaja dengan had sebanyak 200 keping sehari.

"Pas sempadan masih ada namun agak berkurangan dan dijangkakan permintaan lebih tinggi ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619