AGENDA

Fahmi ucap takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu Muhammad Basir

15 Feb 2025, 2:04 PM
Fahmi ucap takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu Muhammad Basir

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia petang tadi akibat masalah kesihatan kronik.

Fahmi menerusi hantaran di Facebook turut mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah dan dikurniakan kekuatan dalam menghadapi kehilangan itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata beliau pernah menziarahi Muhammad Basir yang merupakan penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA sejak tabung itu diperkenalkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan.

“Saya baru saja menerima khabar dukacita pemergian seorang bekas pengamal media yang juga penerima pertama bantuan Tabung Kasih@HAWANA, Muhammad Basir dan saya pernah menziarahi Allahyarham serta keluarga di kediaman mereka pada 14 April 2023 sempena program sulung Kasih@HAWANA.

“Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar dikurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya.

Terdahulu, adik Allahyarham Siti Salha Abu Bakar, 40, ketika dihubungi Bernama memaklumkan bahawa abangnya yang menghidap penyakit jantung meninggal dunia pada 6.45 petang.

Beliau berkata Muhammad Basir dimasukkan ke hospital sejak Sabtu lepas kerana mengalami kesakitan dan muntah-muntah.

Siti Salha berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Taman Taming Jaya, Cheras kira-kira 8 pagi esok untuk dikafan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 10, Cheras.

Muhammad Basir, 45, meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun manakala isterinya, Nor Azlina Jaafar, yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan telah meninggal dunia pada 17 Okt 2023.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619