AGENDA

5,000 peluang pekerjaan swasta, temu duga terbuka SPA di Karnival Kerjaya MYFutureJobs

14 Feb 2025, 3:41 AM
5,000 peluang pekerjaan swasta, temu duga terbuka SPA di Karnival Kerjaya MYFutureJobs

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan di sektor swasta selain temu duga terbuka bagi jawatan dalam perkhidmatan awam ditawarkan sempena Karnival Kerjaya MYFutureJobs (MFJ) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula esok hingga Ahad.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival anjuran bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkenaan menawarkan sesi temu duga terbuka jawatan Pengajar Gred U9 (Teknologi Pergigian), dengan calon berjaya dilantik bersandarkan kelulusan kekosongan jawatan di Kementerian Kesihatan seluruh negara.

“SPA juga akan mengadakan Ujian Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera dan Kecergasan (UFPK) secara terbuka bagi mengisi kekosongan jawatan Keselamatan dan Pertahanan Awam (K),” menurut Perkeso, yang memaklumkan sesi temu duga dijalankan secara lebih berkesan melalui saluran mudah diakses tanpa karenah birokrasi.

Sebanyak 30 majikan sektor swasta dan badan berkanun turut serta dalam karnival kali ini antaranya Habib Group, IHH Healthcare Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Chong Group, GHL System, Agro Bank, Prasarana Malaysia Berhad, Bank Islam dan AEON Co (M) Berhad.

Pertubuhan itu memaklumkan antara jawatan yang ditawarkan termasuk Pengurus Kewangan Perniagaan, Pengurus Kumpulan Kewangan, Pengarah Jualan dan Konsultan Teknikal dengan kadar gaji sekitar RM13,000 hingga RM15,999.

Menurut kenyataan itu sepanjang tahun lepas sebanyak 4,156 karnival kerjaya dan temu duga telah dilaksanakan MFJ dengan membantu 53,327 individu mendapat pekerjaan.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh layari laman web www.myfuturejobs.gov

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619