AGENDA

Sultan dukacita umat Islam mudah terperangkap maklumat salah, semakin berpecah

7 Feb 2025, 4:42 PM
Sultan dukacita umat Islam mudah terperangkap maklumat salah, semakin berpecah

SHAH ALAM, 7 FEB : Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan dukacita semakin ramai umat Islam terperangkap dengan maklumat salah walaupun banyak buku agama dikarang serta dicetak dalam Bahasa Melayu.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah keadaan itu menyebabkan umat Islam semakin mudah terpengaruh dengan ajaran sesat dan menyeleweng yang dibawa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara ketika ini. Umat Islam akan ketinggalan dalam segala aspek kehidupan jika asyik terperdaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.

"Pengaruh yang menyesatkan ini mengakibatkan umat Islam semakin berpecah belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam," titah Baginda ketika merasmikan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, malam ini. Mengiringi tuanku ialah DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad serta Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Sultan Sharafuddin bertitah dunia moden serta kemudahan tanpa sempadan membolehkan umat Islam mendapat maklumat sahih khususnya berkaitan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

“Kebanyakan buku berkaitan agama Islam yang berada di negara ini telah dicetak dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu termasuk laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman Beta belajar agama dahulu,” titah Baginda.

Tegas Sultan Sharafuddin, umat Islam perlu sentiasa merujuk pihak berkuasa dalam urusan agama selain jangan mudah percaya dengan ajaran atau fahaman songsang.

Baginda juga mengingatkan pihak berkuasa lebih peka dalam menangani isu ajaran sesat termasuk mengenakan tindakan undang-undang dengan lebih berkesan agar tidak terus menjadi duri dalam daging umat Islam sehingga membawa perpecahan.

“Perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang Melayu. Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dan indah serta boleh menjadi asas kepada perpaduan sesebuah masyarakat,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda mengajak seluruh umat Islam supaya terus meningkatkan pembacaan al-Quran dalam kehidupan seharian dan memperbanyakkan amal ibadah.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619