AGENDA

Tiga kereta langgar tayar lori tercabut, empat sekeluarga cedera

21 Jan 2025, 1:00 AM
Tiga kereta langgar tayar lori tercabut, empat sekeluarga cedera

IPOH, 21 JAN: Empat sekeluarga cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta melanggar tayar kiri lori tangki muatan minyak 45 tan yang tercabut di Kilometer (KM) 199 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Sitiawan, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Yaris itu, melibatkan wanita berusia 36 tahun yang tersepit, lelaki berumur 35 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga serta empat tahun.

Beliau berkata bagaimanapun tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic, Mercedes dan lori tangki jenis Volvo secara berasingan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada 8.40 malam sebelum jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan BBP Seri Manjung tiba ke lokasi kejadian 13 minit kemudiannya.

“Ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

“Seorang mangsa yang tersepit dibawa oleh EMRS (Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan), manakala tiga mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Sabarodzi berkata operasi tamat pada 10.36 malam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619