AGENDA

Lebih 14,000 ketua isi rumah di Kelantan keluar daripada miskin tegar

9 Jan 2025, 6:34 AM
Lebih 14,000 ketua isi rumah di Kelantan keluar daripada miskin tegar

KOTA BHARU, 9 JAN: Seramai 14,041 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dikeluarkan daripada kategori miskin tegar menerusi dua fasa tahun lepas, kata Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata fasa pertama melibatkan 12,280 KIR pada 1 Julai dan fasa kedua pada 31 Disember lepas melibatkan 1,761 KIR.

"Ia seperti arahan ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan pada 2 Mei tahun lepas untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini.

"Usaha membasmi kemiskinan akan dilaksanakan secara berterusan dan tidak akan terhenti dalam tempoh ini sahaja. Insya-Allah usaha-usaha ini memberikan makna yang besar dalam kehidupan kumpulan sasaran," katanya dalam sidang media selepas menyampaian amanat tahun baharu pada sesi perjumpaan khas Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar itu berkata angka insiden kemiskinan yang dinamik memerlukan strategi dan usaha yang berpanjangan oleh semua pihak.

"Tetapi dari semasa ke semasa, kita akan pantau sebab ia (miskin tegar) ada pasang surut daripada segi bilangan miskin tegar ini", katanya.

Pada 1 Januari lepas, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata kerajaan akan terus beri perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan negeri melalui inisiatif kesejahteraan rakyat serta penyelarasan bantuan langsung, dan agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan menjadi fokus utama.

Ia selaras dengan kenyataan Anwar pada Mei tahun lepas bahawa isu rakyat seperti kemiskinan tegar, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas adalah komitmen berterusan Kerajaan Madani untuk diselesaikan terutama di Kelantan, dan Perdana Menteri memberikan tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan persekutuan iaitu ICU JPM bersama Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menoktah miskin tegar di negeri itu.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619