AGENSI

Program Tuisyen Rakyat Selangor mulai April, manfaat lebih 150,000 pelajar

6 Jan 2025, 5:02 AM
Program Tuisyen Rakyat Selangor mulai April, manfaat lebih 150,000 pelajar

SHAH ALAM, 6 JAN: Lebih 150,000 pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negeri akan mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) secara percuma mulai April ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata dianggarkan 22,000 hingga 25,000 murid sekolah rendah terlibat program intervensi literasi dan numerasi, yang mula diperkenal tahun ini.

Menurut Ahmad Azri Zainal Nor, turut menerima manfaat tuisyen percuma ialah kira-kira 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima seluruh negeri.

“Minggu depan kita rancang buat bengkel akhir kawalan mutu untuk kesemua modul PTRS, seterusnya penghantaran kesemua modul kepada sekolah-sekolah boleh dibuat pada Mac dan kelas dijangka mula April,” katanya kepada Selangorkini.

PTRS peringkat sekolah rendah memfokuskan murid kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

PTRS bagi pelajar tingkatan empat dan lima adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan. Program tersebut menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Pada 13 Ogos lalu, Kerajaan Negeri turut melancarkan aplikasi e-PTRS yang menyasarkan 200,000 pelajar mendapat manfaat teknologi baharu itu. Pengenalan aplikasi pembelajaran berkenaan antara penambahbaikan PTRS yang wujud sejak 2008.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM10 juta bagi melaksanakan PTRS melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima manakala RM1 juta untuk program intervensi literasi dan numerasi di sekolah rendah.

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619