AGENDA

Kod QR KLIA: Penggembara warganegara Malaysia perlu muat turun aplikasi MyBorderPass

4 Jan 2025, 9:43 AM
Kod QR KLIA: Penggembara warganegara Malaysia perlu muat turun aplikasi MyBorderPass

PUTRAJAYA, 4 JAN: Pengembara warganegara Malaysia perlu memuat turun aplikasi MyBorderPass untuk mendaftarkan maklumat perjalanan sebelum menggunakan sistem kod respons pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jabatan Imigresen (JIM) dalam hantaran di laman sosial hari ini,memaklumkan, selepas aplikasi berkenaan dimuat turun, pengembara perlu mengesahkan wajah bagi proses pengesahan sebelum memulakan perjalanan atau semasa ketibaan.

“Ia merupakan pengalaman baharu semua rakyat Malaysia bermula Januari tahun ini. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR di KLIA khusus buat warganegara Malaysia,” menurut JIM.

Rabu lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khusus untuk rakyat Malaysia bermula bulan ini bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas di KLIA Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.

Penggunaan kod QR di balai ketibaan serta balai pelepasan KLIA T1 dan KLIA T2 itu merupakan langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Antara kelebihan penggunaan kod QR ialah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

JIM turut dilaporkan memberi jaminan pelaksanaan pembaharuan kemudahan autogate menggunakan sistem kod QR di KLIA tidak akan menjejaskan keselamatan, khususnya berhubung pelepasan warga asing masuk ke dalam negara.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619