AGENDA

Wisma Putra sahkan penahanan rakyat Malaysia di Arab Saudi

2 Jan 2025, 3:23 PM
Wisma Putra sahkan penahanan rakyat Malaysia di Arab Saudi

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Kementerian Luar hari ini mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menyatakan bantuan konsular telah diberikan kepada individu tersebut dan usaha berterusan dilakukan bagi memastikan perundangan tempatan melindungi haknya.

“Kementerian akan menyelaras rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menangani situasi itu dan komited untuk memberikan sokongan yang sewajarnya selain menegakkan prinsip kerahsiaan dan maruah untuk semua rakyat Malaysia di luar negara.

“Kami menggesa media supaya menghormati privasi individu dan keluarga mereka ketika masa sukar ini. Perkara sebegini sesuatu yang sensitif dan tidak boleh dianggap sebagai peluang untuk spekulasi atau gosip,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sumber memaklumkan seorang pelawak popular yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki dadah, kini sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Menurut sumber itu hukuman tersebut dijatuhkan ketika perbicaraan pelawak terbabit pada November lalu dan berdasarkan penghakiman, tempoh hukuman itu dijangka selesai April ini.

Difahamkan, pelawak itu mungkin dibebaskan lebih awal dari tempoh ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.

Sebelum ini, media melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja namun tidak mendedahkan identitinya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619