AGENDA

Jalan Masjid India dibuka sepenuhnya kepada orang awam mulai hari ini

31 Dis 2024, 1:43 PM
Jalan Masjid India dibuka sepenuhnya kepada orang awam mulai hari ini

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Jalan Masjid India di sini yang terlibat dengan insiden tanah jerlus Ogos lalu, dibuka sepenuhnya kepada orang awam hari ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata pembukaan itu berikutan kerja pemulihan dan pembaikan disiapkan lebih awal berbanding jadual asal iaitu pada Februari 2025.

“Sepanjang tempoh fasa pemulihan dan pembaikan, pemeriksaan terperinci telah dilaksanakan melibatkan kerja penyiasatan tanah secara penggerekan dalam (deep boring) bagi mendapatkan profil tanah di sekitar Jalan Masjid India.

“Sebanyak empat ujian penggerekan dalam telah dijalankan bagi menentu ukur lapisan tanah dan hasil dapatan telah dimasukkan di dalam laporan akhir insiden Jalan Masjid India,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata kerja pembaikan itu termasuklah baik pulih saluran kumbahan yang rosak, kemasan siar kaki di ‘ground zero’ atau kawasan insiden tersebut serta pembaikan dan naik taraf longkang di kawasan sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India.

Maimunah berkata syarikat utiliti termasuk syarikat telekomunikasi juga telah membaik pulih aset di tapak insiden selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemantauan visual di sekitar kawasan itu secara berkala.

“Pemeriksaan seumpama ini akan terus dijalankan oleh DBKL bersama pihak syarikat utiliti dari semasa ke semasa bukan hanya di Jalan Masjid India malah meliputi seluruh bandar Kuala Lumpur bagi menjamin keselamatan warga Kuala Lumpur.

“Peruntukan RM10 juta yang diberikan oleh kerajaan pusat kepada DBKL untuk 2025 akan digunakan bagi melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian sama berulang,” katanya.

Mengenai laporan akhir insiden tanah jerlus, Maimunah berkata DBKL sedang membuat penelitian terhadap keseluruhan isi kandungan laporan dan ia akan dikemukakan ke Kabinet awal tahun depan sebelum disiarkan kepada umum.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemulihan tersebut selain menyeru orang ramai untuk melaporkan maklumat berkaitan mendapan di rizab jalan awam atau tanah jerlus menerusi portal Adu@kl atau menghubungi talian skuad penyelamat 03-40106337.

Pada 23 Ogos lepas, wanita warga India G Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619