AGENDA

Piala Asean: Tumpaskan Filipina 3-1, Thailand bertemu Vietnam di pentas akhir

31 Dis 2024, 12:42 AM
Piala Asean: Tumpaskan Filipina 3-1, Thailand bertemu Vietnam di pentas akhir

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Juara bertahan Thailand memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila menewaskan Filipina 3-1 pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Asean 2024 sekali gus mara ke pentas final dengan agregat 4-3 di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok malam tadi.

Pemain gantian Suphanat Mueanta muncul wira pasukan Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 3-3.

Pasukan tuan rumah kendalian Masatada Ishii, bangkit daripada kekalahan 1-2 pada perlawanan pertama apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi rembatan jarak dekat Peeradon Chamratsamee selepas Adrian Ugelvik gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Seksan Ratree.

Thailand menggandakan kedudukan pada minit ke-54 melalui Patrik Gustavsson yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang melepaskan rembatan yang menewaskan Quincy Kammeraad di gawang Filipina menyaksikan juara tujuh kali itu mendahului dengan agregat 3-2.

Bagaimanapun, harapan Thailand untuk mencatat kemenangan segera tergugat apabila pemain gantian Bjorn Kristensen menyamakan agregat 3-3 pada minit ke-84 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Patiwat Khammai.

Patiwat kemudian bertindak cemerlang apabila menyelamatkan dua percubaan berbahaya berturut-turut Filipina menerusi tandukan Amani Aguinaldo dan rembatan susulan Javier Gayoso sebelum perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.

Di masa tambahan, Suphanat menceriakan puluhan ribu penyokong Thailand apabila menanduk masuk hantaran lintang Worachit Kanitsribumphen pada minit ke-116 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.

Di pentas final yang berlangsung secara timbal balik, Thailand akan berkunjung ke Vietnam Khamis ini sebelum melayani kunjungan pasukan lawan pada Ahad.

Sebagai rekod, Thailand menewaskan Vietnam dengan agregat 3-2 pada final edisi lepas.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619