AGENDA

Tauliah mengajar: Mais pantau pematuhan syarat, elak agama disalah guna

22 Dis 2024, 8:29 AM
Tauliah mengajar: Mais pantau pematuhan syarat, elak agama disalah guna

SHAH ALAM, 22 DIS: Pemantauan pematuhan syarat tauliah mengajar agama Islam yang dilaksanakan dengan tegas di Selangor bukan bertujuan menyusahkan tetapi bagi memastikan keharmonian masyarakat dan kesucian agama terbela.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata individu yang mengajar agama perlu faham dan patuh segala syarat yang telah dimaklumkan lebih awal dengan semua negeri turut mempunyai peraturan berkaitan tauliah.

“Kalau tiada ketegasan, pengajaran agama Islam di negeri ini akan jadi huru-hara. Kita mahukan pengajaran yang menyatukan, bukan berpecah belah,” katanya menjawab soalan mengenai isu tauliah pengajaran agama ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Program Pengajian Sepanjang Hayat Kali Keempat di sini hari ini.

Program berkenaan merupakan inisiatif Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dengan kerjasama Universiti Islam Selangor (UIS).

Mengenai majlis hari ini, Abdul Aziz berkata sebanyak 177 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam Persijilan Awam Pengurusan Masjid, Pengurusan Halal dan Fiqh Wanita.

“Program yang telah dilaksanakan di 32 buah masjid terpilih di negeri ini adalah satu proses pendidikan berterusan bertujuan mendidik masyarakat agar mencintai ilmu dan beramal dengannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619