AGENDA

Anwar mahu jemaah menteri tingkat prestasi, pencapaian dinikmati rakyat

21 Dis 2024, 9:00 AM
Anwar mahu jemaah menteri tingkat prestasi, pencapaian dinikmati rakyat

SUBANG, 21 DIS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua Menteri Kabinet setakat dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata bagaimanapun masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi pencapaiannya kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata dalam tempoh berkenaan, beliau melihat ada menteri yang telah mempamerkan prestasi cemerlang malah ada juga yang menunjukkan prestasi sederhana.

“Tapi saya puas hati satu perkara, walaupun orang bangkit soal rasuah, kes ini, kes itu, yang penting sejak dua tahun ini saya tak izinkan amalan lama rundingan terus, curi komisen...itu saya hentikan,” kata beliau dalam sidang media yang dihadiri pengamal media tempatan dan antarabangsa, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya amat menitikberatkan agenda tatakelola yang baik.

“Orang tak mahu dengar isu tatakelola, tapi bagi saya ini masalah terbesar. Bagi saya tatatekola ini paling penting sebab kebocoran, rasuah, hilang dana puluh-puluh bilion bayar hutang yang tidak sepatutnya kita bayar,” kata beliau.

Menjawab isu penilaian yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap kerajaan MADANI sebelum ini, Perdana Menteri berkata kerajaan terbuka dalam menerima pandangan, namun berpandangan penilaian prestasi yang dilakukan oleh NGO berkenaan adalah terhad.

Mengambil contoh penilaian dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Anwar berkata ia tidak mengambil kira aspek seperti ekonomi, rasuah dan tatakelola.

Sebelum ini, Bersih memberikan gred D kepada Kerajaan MADANI sepanjang dua tahun pentadbirannya.

Sementara itu, Anwar berkata pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terdapat cadangan daripada menteri supaya diadakan satu pemukiman pada Januari depan, bagi menilai kekuatan dan kelemahan Kerajaan MADANI.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619