AGENDA

Lebih dua juta ahli aktif KWSP telah capai simpanan asas - MOF

6 Dis 2024, 1:30 AM
Lebih dua juta ahli aktif KWSP telah capai simpanan asas - MOF

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Seramai 2.65 juta atau 36.2 peratus daripada 7.33 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 18 hingga 55 tahun telah mencapai simpanan asas mengikut umur setakat 30 Okt, 2024, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu memaklumkan jumlah tersebut adalah perbandingan daripada 2.21 juta atau 30.4 peratus daripada 7.25 juta ahli aktif formal pada Disember 2022.

Katanya, ketidakcukupan simpanan persaraan adalah disebabkan beberapa faktor seperti struktur gaji yang rendah, umur yang layak melakukan pengeluaran penuh iaitu 55 tahun adalah tidak selaras dengan umur persaraan Malaysia.

“Tambahan pula, caruman yang tidak konsisten serta kadar celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia yang rendah menyebabkan kurang kesedaran terhadap kepentingan perancangan kewangan dan persaraan turut menyumbang kepada ketidakcukupan simpanan tersebut,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen semalam.

MOF itu menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) mengenai unjuran persediaan rakyat Malaysia menghadapi kemampuan kewangan menjelang usia persaraan.

Menurut kementerian itu lagi, simpanan asas ialah jumlah simpanan dalam Akaun Persaraan yang ditetapkan KWSP bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan sekurang-kurangnya RM240,000 pada umur 55 tahun.

Simpanas asas ini membolehkan ahli menggunakan jumlah minimum sebanyak RM1,000 setiap bulan pada tahun pertama persaraan, namun kesan gandaan dividen tahunan membolehkan nilai pengeluaran pendapatan persaraan bulanan bertambah dari tahun ke tahun.

“Kesan daripada gandaan dividen tahunan tersebut, jumlah pengeluaran bulanan dianggarkan boleh meningkat sehingga RM2,728 pada umur 75 tahun berdasarkan andaian jangkaan purata hayat penduduk Malaysia.

“Oleh itu, purata pengeluaran bulanan untuk keseluruhan tempoh dari 55 tahun sehingga 75 tahun (selama 20 tahun) dianggarkan sebanyak RM1,697 sebulan,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619