AGENDA

Menteri: KPDN tetapkan agihan minyak masak paket, tangani ketirisan

3 Dis 2024, 8:25 AM
Menteri: KPDN tetapkan agihan minyak masak paket, tangani ketirisan

SHAH ALAM, 3 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat penetapan berhubung agihan minyak masak paket bagi memastikan pengguna menerima manfaat barangan subdisi itu.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendekatan itu dilaksana sejak Oktober lalu berikutan berlakunya ketirisan dalam agihan minyak masak paket itu.

"Memang diakui ada ketirisan dalam agihan minyak masak paket ini dan antara pendekatan segera diambil ialah kementerian menetapkan 50 peratus senarai agihan berbanding sebelum ini semuanya ditentukan syarikat pembungkusan semula.

"Usaha ini bagi memastikan semua tempat sampai dan dapat dipasarkan selain dimanfaat pengguna. Pada masa sama, selain meningkatkan penguatkuasaan kita juga mengambil tindakan membatalkan kuota bagi syarikat pembungkusan semula minyak paket ini," katanya di Parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berhubung ketiadaan minyak masak paket di pasaran yang mungkin disembunyikan oleh sesetengah pihak.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan program jualan Rahmah yang membawa barangan keperluan harian pada harga murah akan diadakan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.

"Kita akan meningkatkan jualan ini di semua DUN sekurang-kurangnya dua kali selain mewajibkan minyak paket dijual di setiap program jualan Rahmah sejak Oktober lalu," katanya.

Mei lalu, Armizan memaklumkan syarikat pembungkusan semula minyak masak bersubsidi yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penyelewengan barangan kawalan itu akan didedahkan sebaik laporan lengkap diterima.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619