AGENDA

Rompak seutas gelang emas, lelaki umur 56 tahun dihukum penjara

25 Nov 2024, 9:30 AM
Rompak seutas gelang emas, lelaki umur 56 tahun dihukum penjara

KOTA BHARU, 25 NOV: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang buruh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak seutas gelang tangan emas daripada seorang warga emas di Pasir Puteh, pada 16 Nov.

Adnan Abdullah, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa merompak seutas gelang tangan emas milik seorang peniaga kedai runcit berusia 60 tahun, di hadapan kedai runcit milik wanita itu, di Pasir Puteh pada 1.30 tengah hari, 16 Nov.

Adnan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara 14 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun Adnan yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman paling minimum, atas alasan dia terpaksa melakukan perbuatan itu kerana terdesak mahu menggunakan wang bagi perbelanjaan kos isteri bersalin anak ketiga di hospital.

Tertuduh yang tidak mempunyai pekerjaan tetap serta mengidap penyakit kencing manis, mengaku telah menyesal selain berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu dan mahu meminta maaf dengan mangsa.

Selepas meneliti dan mendengar hujahan serta rayuan Adnan, Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh tangkap, 16 Nov dan dikecualikan sebatan atas faktor usia.

Zulkifli juga berharap tertuduh tidak mengulangi perbuatan jenayah itu kerana boleh membahayakan orang awam, selain mengarahkan gelang tangan emas terbabit dikembalikan semula kepada pemiliknya, manakala motosikal yang digunakan tertuduh perlu diserahkan kepada polis kerana bersabit dengan kes curi kenderaan.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619