AGENDA

PBB: Nyawa dua juta rakyat Palestin di ambang bahaya

22 Nov 2024, 3:30 PM
PBB: Nyawa dua juta rakyat Palestin di ambang bahaya

NEW YORK, 22 NOV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza, dengan lebih dua juta nyawa rakyat Palestin kini terancam akibat gangguan serius dalam penghantaran bantuan penting susulan sekatan dan serangan berterusan oleh Israel.

Menurut Agensi Berita dan PeneranganPalestin (WAFA), Penyelaras Kemanusiaan PBB untuk Wilayah Palestin Yang Diduduki, Muhannad Hadi menzahirkan kebimbangan mengenai situasi kritikal itu dalam satu kenyataan semalam, sambil menekankan kepada kekurangan makanan, air, bahan api dan bekalan perubatan yang amat serius di Gaza.

Hadi memaklumkan sejak enam minggu lalu, Israel menyekat kemasukan barangan komersial penting ke wilayah tersebut, sekali gus memburukkan lagi keadaan yang sudah sememangnya serius.

“Nyawa lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza berada di ambang bahaya,” katanya, menyifatkan perang dan sekatan berterusan itu sebagai tindakan yang membawa penduduk awam ke tahap kritikal untuk terus hidup."

Beliau berkata penduduk Gaza sedang bergelut dengan keadaan mengancam nyawa dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing, tanpa sebarang akses kepada bantuan kritikal yang sangat diperlukan.

Walaupun agensi kemanusiaan di Gaza terus komited untuk meneruskan operasi mereka, Hadi meluahkan kebimbangannya terhadap kemampuan mereka menjalankan tugas di bawah keadaan seperti itu.

Beliau dengan tegas menyeru agar akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan diberikan ke wilayah itu, sambil menegaskan yang bantuan mesti disalurkan melalui saluran sah dan selamat bagi mengelakkan penderitaan lebih teruk.

- BERNAMA-WAFA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619