JENAYAH

16 lelaki termasuk warga China ditahan disyaki terlibat samun berkumpulan

20 Nov 2024, 1:20 AM
16 lelaki termasuk warga China ditahan disyaki terlibat samun berkumpulan

SHAH ALAM, 20 NOV: Polis menahan 16 lelaki termasuk dua warga China dipercayai terlibat kejadian samun berkumpulan di sebuah kilang barangan lusuh di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, pada 9 Nov lepas.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat DSP Mohd Sufian Amin berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan pada 3.30 petang, kira-kira sejam selepas menyamun kilang terbabit.

Beliau berkata sebelum itu, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus kilang itu kira-kira 2.30 petang, dengan menyatakan premis berkenaan telah didatangi sekumpulan lelaki dan bertindak merampas kepingan logam serta barang lusuh.

Kesemua barangan itu, katanya kemudian dimuatkan ke dalam sebuah lori yang dilarikan bersama kumpulan lelaki terbabit.

“Polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat kemudiannya berjaya menahan kesemua suspek serta merampas lori itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sufian berkata turut dirampas ialah sepucuk pistol beserta 20 peluru hidup, sebilah parang dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun.

Beliau berkata kesemua lelaki berkenaan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Siasatan mendapati senjata api itu dimiliki secara sah dan mempunyai lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa. Lapan daripada yang ditahan memiliki pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619