ADN

Lebih RM6 juta diperuntuk dalam pendidikan, infrastruktur Parlimen Sungai Buloh

10 Nov 2024, 9:41 AM
Lebih RM6 juta diperuntuk dalam pendidikan, infrastruktur Parlimen Sungai Buloh

SUNGAI BULOH, 10 NOV: Sepanjang tempoh dua tahun mengendalikan Parlimen Sungai Buloh, lebih RM6 juta peruntukan mesra rakyat disalurkan terutamanya untuk pendidikan dan peningkatan kemudahan awam, kata Ahli Parlimennya Datuk Seri R Ramanan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata pendidikan menjadi keutamaan dalam penggunaan peruntukan, kerana melihatnya sebagai asas penting buat generasi masa depan.

“Pendidikan amat penting kerana anak-anak kita, generasi yang bakal mewarisi negara ini. Oleh itu, sebahagian besar peruntukan tersebut disalurkan kepada sekolah untuk meningkatkan kemudahan dan pengurusan.

“Selain itu, sebahagian peruntukan juga digunakan bagi penyelenggaraan jalan raya dan pengurusan bencana banjir,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Parlimen Sungai Buloh bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen itu.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Zamri Salleh dan Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Ramanan berkata sepanjang tahun ini dan tahun lalu, semua peruntukan mesra rakyat digunakan sepenuhnya, termasuk bagi pembinaan rumah anak yatim dan pembangunan sekolah tanpa sebarang dana yang dikembalikan.

Dalam ucapannya, Ramanan turut memaklumkan peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan infrastruktur meliputi lebih RM1 juta bagi pengurusan sekolah, RM1 juta untuk kemudahan rakyat dan RM4.7 juta untuk naik taraf jalan raya di kawasan Sungai Buloh.

Beliau yang juga diberikan mandat menjawab isu berkaitan hal ehwal masyarakat India serta Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), berjanji untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu buat komuniti India pada tahun hadapan.

“Selain menjawab isu yang dibangkitkan, kita juga fokus kepada inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup komuniti India. Tahun ini, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah AIM serta Program Pembiayaan Bank Rakyat bagi Usahawan Berbangsa India (BRIEF-i),” katanya.

Ramanan berkata Program BRIEF-i, memberi manfaat besar kepada masyarakat India yang berniaga, dengan lebih RM40 juta daripada dana RM50 juta telah disalurkan.

Program PENN pula, walaupun baru diperkenalkan lima bulan lepas, telah menyalurkan RM22 juta daripada jumlah keseluruhan RM50 juta.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619