AGENDA

MotoGP: SuperKIP patah tangan kiri, terlepas perlumbaan sebenar esok

2 Nov 2024, 11:00 AM
MotoGP: SuperKIP patah tangan kiri, terlepas perlumbaan sebenar esok

SEPANG, 2 NOV: Nasib malang menimpa pelumba wildcard negara Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman selepas kedua-dua pelumba itu terlibat dalam kemalangan pada penghujung perlumbaan pusingan kelayakan 1 bagi kelas Moto2 di MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, di sini hari ini.

Dalam sesi kelayakan tersebut, kedua-dua pelumba pasukan Petronas MIE Racing RW terlibat dalam insiden itu apabila jentera Helmi hilang kawalan di selekoh lapan sebelum dilanggar oleh Khairul Idham, yang lebih dikenali sebagai 'SuperKIP', yang pada ketika itu mengekori rapat di belakang.

Pengurus pasukan Razmin Masli Abdul Razak berkata Khairul Idham mengalami patah tangan kiri selain cedera di bahagian kaki dan tidak dapat bersaing esok manakala Helmi tidak mengalami kecederaan serius dan dapat meneruskan saingan.

"Khairul Idham patah tangan selepas ujian imbasan sinar-X dan kecederaan itu disahkan di pusat perubatan. Namun, untuk kecederaan di kaki, dia masih perlu menjalani ujian CT Scan. Helmi pula tidak mengalami kecederaan serius, cuma kecederaan ringan.

"Harap dia (Helmi) dapat teruskan aksi seperti biasa esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik MIE Racing Midori Moriwaki menyuarakan keyakinan bahawa Helmi akan dapat menampilkan tunggangan terbaiknya dalam perlumbaan esok walaupun terlibat dalam kemalangan.

"Saya tahu dia teruja untuk berlumba dan saya pasti Helmi akan memberikan yang terbaik untuk Jalur Gemilang dan juga untuk penaja Petronas," katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619