AGENDA

Libat urus bincang isu tempoh penginapan hotel, cari jalan 'menang-menang'

28 Okt 2024, 9:44 AM
Libat urus bincang isu tempoh penginapan hotel, cari jalan 'menang-menang'

SHAH ALAM, 28 OKT: Selangor akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha hotel dan penggiat industri bagi membincangkan isu berkaitan tempoh penginapan pelanggan.

EXCO pelancongan berkata pihaknya perlu mencari penyelesaian menang-menang dalam memastikan pengusaha hotel memberi khidmat terbaik dan pelanggan mendapat keselesaan.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, Selangor juga tidak bercadang menguatkuasakan tempoh penginapan 23 jam, sebaliknya kekal dengan masa daftar masuk dan keluar hotel seperti sediakala.

“Kita mahu cari solusi menang-menang, namun pada masa sama tidak boleh membebankan pengusaha hotel atau memaksa mereka kerana ia akan menjejaskan industri pelancongan," katanya ketika dihubungi.

Minggu lalu, Kementerian Pelancongan menggesa pengusaha hotel melaraskan masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam.

Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata penginapan 23 jam sehari perkara biasa di luar negara, dengan pelanggan mendaftar masuk jam 2 petang dan keluar tengah hari keesokan harinya.

Dalam pada itu, Suee Lim berpendapat tempoh penginapan 23 jam menjadi kekangan kepada pengusaha hotel membuat pembersihan sebelum daftar masuk pelanggan seterusnya, selain isu tenaga kerja.

Sebelum ini, media melaporkan isu tular tindakan sesetengah hotel dan rumah inap yang menetapkan waktu daftar masuk ke premis mereka bermula 4 petang dan keluar pada jam 11 pagi.

Tindakan itu mencetuskan perbincangan warganet yang merasakan tidak adil kerana tempoh penginapan yang diberikan singkat, termasuk pelanggan dikenakan caj tambahan jika terlewat daftar keluar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619