AGENDA

Penganjuran karnival kerjaya Selangor tujuh daerah tarik lebih 40,000 peserta

28 Okt 2024, 9:30 AM
Penganjuran karnival kerjaya Selangor tujuh daerah tarik lebih 40,000 peserta

SHAH ALAM, 28 OKT: Lebih 40,000 individu menyertai Karnival Jelajah Jobcare 2024 yang dianjur di tujuh daerah setakat ini, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata hampir 6,000 daripadanya ditawarkan pekerjaan dalam pelbagai bidang dan jawatan termasuk kerjaya profesional.

“Daripada jumlah itu, lebih 1,000 peserta menerima tawaran berkenaan. Karnival ini bukan hanya membantu penduduk mendapatkan pekerjaan semata-mata namun turut menjadikan Selangor sebagai negeri berdaya huni.

“Siapa pun yang tinggal akan miliki kemudahan dan akses sama adil. Bukan hanya pekerjaan, kita juga sediakan pelbagai inisiatif antaranya pendidikan dan bantuan kewangan,” katanya selepas merasmikan Karnival Jobcare Istimewa Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, EXCO sumber manusia berkata kira-kira 8,000 peluang pekerjaan ditawar dalam dua lagi siri penganjuran karnival kerjaya yang bakal berlangsung di Sepang pada 16 November dan Sabak Bernam (14 Disember).

V Papparaidu berkata penganjuran kali ini akan ditambah dengan elemen mesra Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai inisiatif membantu golongan terbabit mendapat pekerjaan tanpa perlu bersaing.

“Kita juga akan mendapatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat besar yang sememangnya menawarkan peluang kerja kepada OKU. Ini tanda keprihatinan negeri kepada mereka,” katanya.

Sepanjang tahun ini, tujuh siri jelajah selesai diadakan di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya (17 Julai), Kuala Langat (10 Ogos), Hulu Langat (17 Ogos), Gombak (21 September), Klang (5 Oktober) dan Kuala Selangor (19 Oktober).

Program di Sepang akan berlangsung di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi manakala Sabak Bernam di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619